Thursday, December 30, 2010

KUNJUNGAN HORMAT AL-FALAH

Satu kunjungan hormat Al-Falah kepada Mudir SMKAF, Tn. Hj. Abdul Rahman Bin Mahmood, telah dibuat pada 27 Disember bertempat di Pejabat Pengetua SMKAF. Delegasi ini yang diketuai oleh En. Razif Bin Abdullah, selaku YDP Al-Falah bersama 9 orang AJK Al-Falah dan warga alumni. Turut bersama ialah Tn. Hj. Ahmad Ghazilan Bin Ngah, PK HEM SMKAF. Beberapa perkara dan isu yang diketengahkan telah didiskusi dengan baik, di samping bertanya khabar tentang perkembangan semasa sekolah, terutamanya keputusan PMR 2010 yang baru sahaja diumumkan. Sesi diskusi ini diakhiri dengan jamuan makan tengahari di Restoren Sakinah. Berikut adalah catatan perkara dan isu yang telah dibincangkan bersama.

1. Pencapaian PMR 2010.
  • Secara keseluruhan, bagi 159 orang calon, pencapaian adalah menurun sedikit, namun bilangan calon yang mendapat 9A ialah seramai 20.
  • Turut menjadi perhatian ialah bilangan calon yang gagal dalam subjek wajib SMKA iaitu Bahasa Arab (Komunikasi) iaitu seramai 32 orang, dan sekadar lulus minima seramai 42 orang. Hal ini demikian kerana kelapan-lapan subjek lain tiada calon yang mendapat lulus minima & gagal. Walaupun dari aspek tenaga pengajar yang cemerlang serta pelbagai program & bengkel kecemerlangan khusus untuk subjek BA(Kom) telah diadakan, namun antara faktor yang menyebabkan kegagalan ini ialah sikap pelajar itu sendiri, & fokus calon terganggu kerana spot check dari pegawai Lembaga Peperiksaan semasa sesi peperiksaan subjek BA(Kom).
  • Tahniah kepada guru-guru bagi subjek Geografi, Sejarah & Kemahiran Hidup Bersepadu, kerana dapat mengekalkan prestasi pencapaian yang sangat memuaskan.
2. Tawaran belajar & penginapan asrama di SMKAF untuk pelajar perempuan di Tingkatan 1 pada sessi 2011.
  • Al-Falah telah menyatakan pendirian sokongan penuh terhadap apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak sekolah, kerana keyakinan terhadap pihak pentadbir sekolah adalah lebih arif tentang situasi sekolah & rencana untuk melonjakkan prestasi, serta mencapai visi sekolah iaitu mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjelang 2015. Walaubagaimana pun, Al-Falah ingin juga mengetahui justifikasi pihak pentadbir sekolah dalam membuka tawaran ini, ekoran rasa cakna & ingin tahu tentang perkembangan semasa sekolah.
  • Antara lain, tujuan tindakan ini adalah kerana ia sejajar dengan dasar meritokrasi; iaitu mengutamakan pelajar yang cemerlang tanpa mengira jantina, bangsa & agama. Dengan kata lain, sesiapa sahaja layak belajar di SMKAF sekiranya mencapai keputusan yang cemerlang.
  • Turut dicadangkan satu perjumpaan dengan Ketua Sektor Pendidikan Islam, YBhg. Tn. Hj Ustaz Ab Razak Bin Mat Saad, bertujuan ziarah mahabbah bagi membina hubungan ukhuwah antara AJK Al-Falah dengan KSPI.
  • Berkaitan dengan polemik yang ditimbulkan oleh sekumpulan individu yang menamakan kumpulan mereka sebagai Badan Bertindak Bekas Pelajar (BANTAH), pihak Alumni SMKA Falahiah (Al-Falah) menafikan mempunyai hubungan & merestui apa jua tindakan yang dibuat termasuk melalui laman sosial, siaran artikel dalam akhbar online, media cetak, kain rentang dan juga media-media alternatif peribadi. Namun Al-Falah tidak dapat menafikan kemungkinan yang menjadi dalang adalah bekas pelajar SMKAF juga. Justeru, Al-Falah juga berasa kesal sekiranya ada mana-mana pihak yang menuding jari kepada Al-Falah dalam isu ini, yang menjadi badan induk rasmi menaungi bekas pelajar & warga SMKAF, kerana hanya tindakan tersebut dibuat oleh bekas pelajar SMKAF. Al-Falah juga sangat bersetuju dengan pandangan Tn. Mudir berkenaan tindakan Bantah hanya mengundangkan masalah & menjejaskan nama baik sekolah & warga bekas pelajar.
3. Pembinaan blok-blok bangunan baru.
  • Asrama untuk pelajar perempuan (ASPURI) telah siap & telah digunakan untuk penginapan pelajar perempuan tingkatan 6 bawah & 6 atas pada sessi 2010. Aspuri yang boleh menampung seramai 200 orang pelajar ini bakal turut menjadi penginapan bagi pelajar perempuan tingkatan 1 sessi 2011. Manakala pejabat pentadbiran asrama yang asalnya berlokasi di asrama blok B, akan menjadi bilik penginapan warden & pejabat akan berpindah ke blok Aspuri di aras 1.
  • Sebuah blok bangunan kantin yang baru masih dalam pembinaan, berlokasi bersebelahan asrama blok C, yang akan menggantikan kantin yang sedia ada, yang akan direnovasikan kepada bilik study berhawa dingin untuk kegunaan para pelajar.
  • Sebuah blok bangunan 3 tingkat bersambung dengan blok bangunan pejabat sekolah, juga masih dalam pembinaan, yang didirikan atas tapak asal bengkel pertanian Kemahiran Hidup. Bangunan ini akan terdiri daripada kelas-kelas serta makmal sains.
  • Masjid sekolah juga masih dalam proses pembinaan untuk dibesarkan. Pihak sekolah amat mengalu-alukan mana-mana warga bekas pelajar atau pihak luar yang ingin memberi sumbangan untuk tujuan pembiayaan kos projek ini.

Dicatat oleh,
Setiausaha Agung
Alumni SMKA Falahiah

2 comments:

thaqif91 said...

all da best falahiah :)

Abu Nasih said...

mohon sokongan padu semua warga alumni